Allah swt mengetuk pintu-pintu hati sesiapa sahaja yang Dia pilih dan melalui apa jua cara yang Dia tetapkan, ketika menganugerahkan hidayah dan taufikNya.
Malik bin Dinar (wafat pada sekitar tahun 130 hijrah) adalah salah seorang tabiin yang terkenal kerana kesolehan dan keilmuannya. Antara ribuan jasanya yang besar ialah menggerakkan penyebaran Islam ke Kerala, India.
Tetapi evolusinya menjadi ulama yang tersohor tidak bermula daripada noktah bidayah yang bergemerlapan. Apa tidaknya, dia adalah seorang peminum arak pada awalnya, tetapi kemudiannya kalbunya telah disuluh dengan cahaya hidayah. Hidayah yang bersinar, hasil daripada mimpi dan kasih sayangnya kepada anaknya yang telah meninggal dunia.
Dikisahkan sendiri daripada bicara lidah dan nukilan tulisannya, Malik bin Dinar menjelaskan ketika dia ditanya tentang pengembaraan taubatnya yang bermula sebagai seorang peminum minuman keras yang tegar.
Dia menceritakan bahawa dia pernah mempunyai seorang cahaya mata, iaitu seorang puteri yang sangat comel dan menyejukkan mata. Sejak lahir, bayi puterinya itu dibelainya dengan dengan penuh kasih sayang. Pada apa jua ketika dan di mana pun dia berada, hatinya sentiasa merindui puterinya yang sangat dicintainya itu.
Pada suatu hari, ketika Malik bin Dinar mahu meminum arak seperti kebiasaannya, puterinya itu datang merapatinya lalu menolak gelas araknya. Maka tertumpahlah arak itu ke bajunya. Tersentak, dia terasa tertampar dengan hidayah Allah, seolah-olah puteri kesayangannya yang masih kecil itu tidak merestui kemaksiatan bapanya.
Tetapi tidak lama selepas itu, iaitu ketika belumpun sempat gelodak jiwanya menganalisa penuh peristiwa itu, Allah swt telah memanggil pulang puterinya itu ke rahmatullah, iaitu ketika puterinya itu baru berusia dua tahun. Maka tinggallah Malik bin Dinar si ayah yang kesedihan, syahdu pada siang hari dan rindu pada malam hari.
Hinggalah terigau dalam mimpi-mimpi.
Pada suatu malam Jumaat yang kebetulannya adalah nisfu Sya’ban, Malik bin Dinar tertidur. Ketika itu, masih ada sisa maksiat dalam dirinya. Dia terlelap setelah kemabukan dan belum menunaikan solat Isya’.
Dalam tidurnya itu, dia bermimpi.
Dalam mimpinya, dia dipertontonkan dengan peristiwa akhir zaman iaitu ketika sangkakala telah ditiupkan. Dia melihat semua orang telah dibangkitkan daripada kuburan masing-masing dan dikumpulkan di Padang Mahsyar.
Dan dia melihat dirinya sebagai salah seorang daripada jutaan dan bilionan manusia, berdiri sesak menghadapi pengadilan abadi.
Tiba-tiba dia mendengar suara desisan dari belakangnya. Lalu dia menoleh. Dan alangkah terkejutnya dia, ada seekor naga yang sangat besar di belakangnya. Naga itu yang berwarna antara hitam kebiruan, telah menerkamnya dengan mulut yang ternganga.
Maka dia pun berlari menyelamatkan dirinya.
Tiba-tiba dia bertemu dengan seorang lelaki tua. Lelaki itu memakai baju yang sangat bersih dan harum mewangi baunya.
Lalu Malik bin Dinar pun menyampaikan salam kepada lelaki itu dan meminta pertolongan daripadanya. Katanya, “Syekh, tolong bantu aku mengusir naga ini, semoga Allah memberimu pahala!”
Lelaki itu malah menjawabnya dengan tangisan seraya berkata, “Aku lemah dan naga itu jauh lebih kuat dariku. Aku tidak mampu menolongmu. Tetapi, larilah terus dengan cepat semoga Allah memberimu kesempatan kepada seseorang yang dapat menolongmu.”
Lalu Malik bin Dinar pun meneruskan larian demi untuk menyelamatkan dirinya. Hinggalah dia tiba ke penghujung mahsyar, yang sangat hampir ke jurang neraka. Dia dapat melihat kedahsyatan api yang membara dan merasai bahang panasnya.
Nyaris sahaja dia tergelincir kerana takutkan si naga yang semakin menghampirinya. Tiba-tiba dia terdengar suatu teriakan dari jauh, “Kembalilah! Kamu bukan termasuk daripada penduduk neraka itu.”
Teriakan itu ternyata memberikan ketenangan kepada Malik bin Dinar. Dengan semangat yang baru itu, dia mendapat kekuatan untuk meneruskan larian bagi menyelamatkan dirinya daripada naga yang ganas itu.
Setelah beberapa ketika berlari, Malik bin Dinar sekali lagi bertemu dengan lelaki tua yang ditemuinya sebelum ini. Lalu sekali lagi dia memohon pertolongan, “Syekh, aku minta tolong kepadamu untuk mengusir naga ini daripadaku. Kenapa kamu tidak mahu membantuku?”
Sambil menangis, lelaki itu kembali menjawabnya, “Aku lemah, akan tetapi pergilah ke gunung sana,” sambil menunjuk ke suatu arah. “Di sana terdapat lembah-lembah tempat umat Islam, mungkin ada yang dapat menolongmu.”
Lalu Malik bin Dinar pun segera melihat ke arah gunung yang ditunjuki oleh lelaki itu. Gunung itu dikelilingi oleh perak, dilapisi kain yang berhias dan tirai yang bergantungan. Setiap pintu kecil dan jalan yang terdapat di kawasan itu terbuat daripada emas merah yang diselingi oleh batu permata dan intan. Dan ditutupi dengan sutera.
Maka dia pun segera berlari menghampiri gunung itu, sedangkan naga yang ganas itu masih terus mengejarinya dari belakang.
Apabila dia semakin menghampiri gunung itu, dia terdengar teriakan malaikat, “Angkat tirai kalian! Bukakan pintu dan sambutlah dia! Mungkin saja orang yang sengsara itu memiliki rumah yang dapat melindunginya daripada musuhnya.”
Lalu semua tirai segera diangkat dan semua pintu segera terbuka. Untuknya.
Justeru ketika dia memasuki daerah pergunungan itu, dia disambut oleh sekelompok kanak-kanak kecil yang wajahnya bersinar seperti rembulan. Tetapi pada masa yang sama, naga yang mengejarnya itu semakin pula hampir dapat menangkapnya.
Maka dia merasa pelik dan bingung dengan situasi-situasa yang membahagiakan, tetapi mencemaskan; bercampur-baur pada masa yang sama.
Tiba-tiba terdengar lagi teriakan yang lain, “Celaka kalian! Kalian semua lindunginya segera karena musuhnya sudah semakin mendekat!” Maka segera kanak-kanak itu datang mengelilinginya untuk melindunginya daripada naga itu.
Di antara kanak-kanak yang ramai itu, salah seorangnya memandang wajah Malik bin Dinar tepat dari jauh. Dan Malik juga apabila terpandang wajah kanak-kanak itu, matanya terpaku apabila masing-masing bersaling pandang. Dia lantas mengenali wajah itu. “Puteri kesayanganku!!”
Sebaik menyedari itulah ayahnya dan bahaya yang bakal menimpa ayahnya, maka sang puteri itu pun berteriak, “Demi Allah, Ayah!”
Lantas si puteri itu bergerak melompat untuk berada di hadapan Malik Bin Dinar dengan kadar pergerakan yang sangat pantas, iaitu “sepantas cahaya sejauh lemparan panah”.
Kemudian, bagaikan wira penyelamat, si puteri itu menghulurkan tangan kirinya hingga menyentuhi tangan kanan Malik Bin Dinar hingga mereka dapat bergenggaman tangan. Manakala tangan kanan puteri itu pula telah dijulurkan tinggi ke arah naga yang ganas itu. Tiba-tiba seolah-olah ada kuasa yang mencengkam naga itu, ia menjadi ketakutan lalu menjauhkan diri. Maka menjadi amanlah Malik bin Dinar, diselamatkan oleh anak puterinya sendiri yang masih kanak-kanak itu.
Setelah suasana kembali tenang, puteri Malik mempersilakan ayahnya duduk. Lalu bagai cuba melepaskan rindu di jiwa, anak puterinya itu yang masih kekanakan lantas duduk di pangkuan ayahnya. Sambil tangannya menyentuh dan mengurut janggut ayahnya, puteri itu berkata dengan lembut, “Ayah, ‘Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk menundukkan hati mereka bagi mengingati Allah?’” yang merupakan petikan ayat al-Quran daripada Surah al-Hadiid 57:16.
Malik bin Dinar, yang walaupun dia pada ketika itu adalah ahli maksiat, tetapi dia mengetahui sangat bahawa apa yang diungkapkan oleh anaknya itu adalah sebahagian daripada kalam Ilahi. Lantas sambil menangis, dia bertanya, “Anakku, apakah kamu tahu Al-Quran juga?”
Sambil mendepangkan tangannya dan tanpa lekang senyuman di bibir, puterinya itu menjawab, “Ayah, kami semua di sini lebih mengetahui mengenai Al-Quran berbanding daripada dirimu.”
Malik kemudiannya mengutarakan soalan-soalan yang terbenak dalam jiwa dan fikirannya.
Dia berkata, “Anakku, apakah naga itu dan kenapakah ia mengejari ayahmu ini?”
Anaknya menjawab, “Itu adalah amal buruk ayah, yang selalu ayah merangsanginya hingga ia menjadi kuat. Ia ingin menangkap ayah untuk ia campakkan ke dalam api neraka.”
“Siapakah pula lelaki yang ayah temui itu, yang tidak mahu membantu ayah walaupun ayah merayu kepadanya?”
“Ayah, itu adalah amal solehmu, yang ayah selalu mengabaikannya menyebabkan ia menjadi lemah. Ia tidak membantu ayah kerana ia tidak memiliki kekuatan seperti amal burukmu itu,” ujar puterinya lagi.
“Anakku, apa yang kamu lakukan di gunung ini?”
Jawab puterinya itu, “Kami semua adalah anak-anak kecil umat Islam. Kami tinggal di sini hingga datangnya hari Kiamat untuk menunggu kalian yang mendatangi kami agar kami dapat beri syafaat kepada kalian.”
Setelah itu, Malik lantas tersedar daripada mimpinya dan terjaga daripada tidurnya. Ternyata mimpinya itu merupakan teguran lembut daripada Ilahi yang dianugerahi melalui titik sensitivitinya iaitu kasih sayang dan rasa rindunya kepada anak puterinya yang telah meninggal dunia.
Bertolak daripada peristiwa itu, Malik bin Dinar telah meninggalkan segala kemaksiatannya dan sentiasa konsisten dalam taubatnya, hingga Allah meningkatkan ia menjadi antara manusia yang beriman dan tinggi amalan solehnya berbanding manusia lain sezamannya.
Maka untuk kita pula, kisah itu bukanlah sesuatu yang perlu diceritakan kepada anak-anak sebagai cerita sebelum tidur semata-mata. Tetapi yang lebih utamanya, ia adalah untuk buat renungan diri sendiri. Pujuklah diri kita masing-masing dan tanyakanlah kepada diri sendiri, belumkah datang waktunya bagi saya untuk menundukkan hati saya untuk kembali mengingati Allah?
“Ya Rabb kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat daripada sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia).” (Ali Imran 3 : 8).
Kisah tersebut saya adaptasikan daripada buku Muhammad Sa’id Mursi & Qasim Abdullah Ibrahim, 100 Kisah Teladan Tokoh Besar. Gema Insani, Depok : 2010.
Buku ini boleh dibeli melalui http://synergymedia.my/30-cerita-tokoh-wanita-terulung-prd-27980/, iaitu pada harga RM25.90 sahaja atau @synergy_media90.
Kisah yang sama turut pernah diceritakan oleh Ustaz Ahmad Muhtad Bin Yusoff yang boleh dilayari di https://youtu.be/eJcDxUIcW0A. Beliau turut menyatakan sumber asalnya iaitu daripada Kitab At-Tauwabin nukilan Al-Imam Ibn Al-Jauzi ra.