Abdullah bin Salam ra adalah salah seorang pendita kaum Yahudi di Yathrib, yang mahir dengan kandungan kitab Taurat. Dia telah menyatakan keIslamannya kepada Allah dan RasulNya selepas penghijrahan Nabi, dan meninggal dunia sebagai salah seorang sahabat Rasulullah saw yang terkemuka. Dan Rasulullah saw memperakukan beliau sebagai salah seorang ahli syurga.
Dia telah mengangkat panji-panji Islam kepada masyarakatnya dan mendakwahi mereka kepada agama yang benar ini.
Dikhabarkan bahawa beliau telah mengajak dua orang saudaranya untuk memeluk Islam. Iaitu Salamah dan Muhajir.
Dalam pujukannya, dia berkata, "Kalian berdua tahu bahawa Allah berfirman dalam Taurat, 'Sungguh, Aku akan mengutus seorang nabi bernama Ahmad dari keturunan Ismail. Orang yang beriman kepadanya mendapat penunjuk dan bimbingan, sedangkan orang yang tidak beriman akan dilaknat.'"
Hasil daripada dakwah tersebut, saudara Abdullah bin Salam ra yang bernama Salamah telah memeluk Islam dengan hidayah daripada Allah swt. Namun, saudaranya yang seorang lagi telah menolak ajakan tersebut.
Maka peristiwa ini menjadi asbab kepada penurunan ayat 130 daripada Surah al-Baqarah, yang bermaksud, "Dan orang yang membenci agama Ibrahim, hanyalah orang yang memperbodoh dirinya sendiri. Dan sungguh, kami telah memilihnya (Ibrahim) di dunia ini. Dan sesungguhnya di akhirat dia termasuk daripada kalangan orang-orang yang salih."
Rujukan : Dr Ahmad Hatta, Tafsir al-Quran Per Kata. Pustaka Maghfirah, Jakarta : 2009. Halaman 20.
