Tuesday, May 11, 2021

Ketukan hidayah Ilahi

Allah swt mengetuk pintu-pintu hati sesiapa sahaja yang Dia pilih dan melalui apa jua cara yang Dia tetapkan, ketika menganugerahkan hidayah dan taufikNya. 

Malik bin Dinar (wafat pada sekitar tahun 130 hijrah) adalah salah seorang tabiin yang terkenal kerana kesolehan dan keilmuannya. Antara ribuan jasanya yang besar ialah menggerakkan penyebaran Islam ke Kerala, India.

 

Tetapi evolusinya menjadi ulama yang tersohor tidak bermula daripada noktah bidayah yang bergemerlapan. Apa tidaknya, dia adalah seorang peminum arak pada awalnya, tetapi kemudiannya kalbunya telah disuluh dengan cahaya hidayah. Hidayah yang bersinar, hasil daripada mimpi dan kasih sayangnya kepada anaknya yang telah meninggal dunia.

 

Dikisahkan sendiri daripada bicara lidah dan nukilan tulisannya, Malik bin Dinar menjelaskan ketika dia ditanya tentang pengembaraan taubatnya yang bermula sebagai seorang peminum minuman keras yang tegar.

 

Dia menceritakan bahawa dia pernah mempunyai seorang cahaya mata, iaitu seorang puteri yang sangat comel dan menyejukkan mata. Sejak lahir, bayi puterinya itu dibelainya dengan dengan penuh kasih sayang. Pada apa jua ketika dan di mana pun dia berada, hatinya sentiasa merindui puterinya yang sangat dicintainya itu.

 

Pada suatu hari, ketika Malik bin Dinar mahu meminum arak seperti kebiasaannya, puterinya itu datang merapatinya lalu menolak gelas araknya. Maka tertumpahlah arak itu ke bajunya. Tersentak, dia terasa tertampar dengan hidayah Allah, seolah-olah puteri kesayangannya yang masih kecil itu tidak merestui kemaksiatan bapanya.

 

Tetapi tidak lama selepas itu, iaitu ketika belumpun sempat gelodak jiwanya menganalisa penuh peristiwa itu, Allah swt telah memanggil pulang puterinya itu ke rahmatullah, iaitu ketika puterinya itu baru berusia dua tahun. Maka tinggallah Malik bin Dinar si ayah yang kesedihan, syahdu pada siang hari dan rindu pada malam hari.

 

Hinggalah terigau dalam mimpi-mimpi.

 

Pada suatu malam Jumaat yang kebetulannya adalah nisfu Sya’ban, Malik bin Dinar tertidur. Ketika itu, masih ada sisa maksiat dalam dirinya. Dia terlelap setelah kemabukan dan belum menunaikan solat Isya’.

 

Dalam tidurnya itu, dia bermimpi.

 

Dalam mimpinya, dia dipertontonkan dengan peristiwa akhir zaman iaitu ketika sangkakala telah ditiupkan. Dia melihat semua orang telah dibangkitkan daripada kuburan masing-masing dan dikumpulkan di Padang Mahsyar.

 

Dan dia melihat dirinya sebagai salah seorang daripada jutaan dan bilionan manusia, berdiri sesak menghadapi pengadilan abadi.

 

Tiba-tiba dia mendengar suara desisan dari belakangnya. Lalu dia menoleh. Dan alangkah terkejutnya dia, ada seekor naga yang sangat besar di belakangnya. Naga itu yang berwarna antara hitam kebiruan, telah menerkamnya dengan mulut yang ternganga.

 

Maka dia pun berlari menyelamatkan dirinya. 

 

Tiba-tiba dia bertemu dengan seorang lelaki tua. Lelaki itu memakai baju yang sangat bersih dan harum mewangi baunya. 

 

Lalu Malik bin Dinar pun menyampaikan salam kepada lelaki itu dan meminta pertolongan daripadanya. Katanya, “Syekh, tolong bantu aku mengusir naga ini, semoga Allah memberimu pahala!” 

 

Lelaki itu malah menjawabnya dengan tangisan seraya berkata, “Aku lemah dan naga itu jauh lebih kuat dariku. Aku tidak mampu menolongmu. Tetapi, larilah terus dengan cepat semoga Allah memberimu kesempatan kepada seseorang yang dapat menolongmu.”

 

Lalu Malik bin Dinar pun meneruskan larian demi untuk menyelamatkan dirinya. Hinggalah dia tiba ke penghujung mahsyar, yang sangat hampir ke jurang neraka. Dia dapat melihat kedahsyatan api yang membara dan merasai bahang panasnya. 

 

Nyaris sahaja dia tergelincir kerana takutkan si naga yang semakin menghampirinya. Tiba-tiba dia terdengar suatu teriakan dari jauh, “Kembalilah! Kamu bukan termasuk daripada penduduk neraka itu.” 

 

Teriakan itu ternyata memberikan ketenangan kepada Malik bin Dinar. Dengan semangat yang baru itu, dia mendapat kekuatan untuk meneruskan larian bagi menyelamatkan dirinya daripada naga yang ganas itu.

 

Setelah beberapa ketika berlari, Malik bin Dinar sekali lagi bertemu dengan lelaki tua yang ditemuinya sebelum ini. Lalu sekali lagi dia memohon pertolongan, “Syekh, aku minta tolong kepadamu untuk mengusir naga ini daripadaku. Kenapa kamu tidak mahu membantuku?” 

 

Sambil menangis, lelaki itu kembali menjawabnya, “Aku lemah, akan tetapi pergilah ke gunung sana,” sambil menunjuk ke suatu arah. “Di sana terdapat lembah-lembah tempat umat Islam, mungkin ada yang dapat menolongmu.”

 

Lalu Malik bin Dinar pun segera melihat ke arah gunung yang ditunjuki oleh lelaki itu. Gunung itu dikelilingi oleh perak, dilapisi kain yang berhias dan tirai yang bergantungan. Setiap pintu kecil dan jalan yang terdapat di kawasan itu terbuat daripada emas merah yang diselingi oleh batu permata dan intan. Dan ditutupi dengan sutera. 

 

Maka dia pun segera berlari menghampiri gunung itu, sedangkan naga yang ganas itu masih terus mengejarinya dari belakang. 

 

Apabila dia semakin menghampiri gunung itu, dia terdengar teriakan malaikat, “Angkat tirai kalian! Bukakan pintu dan sambutlah dia! Mungkin saja orang yang sengsara itu memiliki rumah yang dapat melindunginya daripada musuhnya.”

 

Lalu semua tirai segera diangkat dan semua pintu segera terbuka. Untuknya.

 

Justeru ketika dia memasuki daerah pergunungan itu, dia disambut oleh sekelompok kanak-kanak kecil yang wajahnya bersinar seperti rembulan. Tetapi pada masa yang sama, naga yang mengejarnya itu semakin pula hampir dapat menangkapnya.

 

Maka dia merasa pelik dan bingung dengan situasi-situasa yang membahagiakan, tetapi mencemaskan; bercampur-baur pada masa yang sama.

 

Tiba-tiba terdengar lagi teriakan yang lain, “Celaka kalian! Kalian semua lindunginya segera karena musuhnya sudah semakin mendekat!” Maka segera kanak-kanak itu datang mengelilinginya untuk melindunginya daripada naga itu.

 

Di antara kanak-kanak yang ramai itu, salah seorangnya memandang wajah Malik bin Dinar tepat dari jauh. Dan Malik juga apabila terpandang wajah kanak-kanak itu, matanya terpaku apabila masing-masing bersaling pandang. Dia lantas mengenali wajah itu. “Puteri kesayanganku!!” 

 

Sebaik menyedari itulah ayahnya dan bahaya yang bakal menimpa ayahnya, maka sang puteri itu pun berteriak, “Demi Allah, Ayah!” 

 

Lantas si puteri itu bergerak melompat untuk berada di hadapan Malik Bin Dinar dengan kadar pergerakan yang sangat pantas, iaitu “sepantas cahaya sejauh lemparan panah”. 

 

Kemudian, bagaikan wira penyelamat, si puteri itu menghulurkan tangan kirinya hingga menyentuhi tangan kanan Malik Bin Dinar hingga mereka dapat bergenggaman tangan. Manakala tangan kanan puteri itu pula telah dijulurkan tinggi ke arah naga yang ganas itu. Tiba-tiba seolah-olah ada kuasa yang mencengkam naga itu, ia menjadi ketakutan lalu menjauhkan diri. Maka menjadi amanlah Malik bin Dinar, diselamatkan oleh anak puterinya sendiri yang masih kanak-kanak itu.



 

Setelah suasana kembali tenang, puteri Malik mempersilakan ayahnya duduk. Lalu bagai cuba melepaskan rindu di jiwa, anak puterinya itu yang masih kekanakan lantas duduk di pangkuan ayahnya. Sambil tangannya menyentuh dan mengurut janggut ayahnya, puteri itu berkata dengan lembut, “Ayah, ‘Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk menundukkan hati mereka bagi mengingati Allah?’” yang merupakan petikan ayat al-Quran daripada Surah al-Hadiid 57:16.

 


Malik bin Dinar, yang walaupun dia pada ketika itu adalah ahli maksiat, tetapi dia mengetahui sangat bahawa apa yang diungkapkan oleh anaknya itu adalah sebahagian daripada kalam Ilahi. Lantas sambil menangis, dia bertanya, “Anakku, apakah kamu tahu Al-Quran juga?”

 

Sambil mendepangkan tangannya dan tanpa lekang senyuman di bibir, puterinya itu menjawab, “Ayah, kami semua di sini lebih mengetahui mengenai Al-Quran berbanding daripada dirimu.”

 

Malik kemudiannya mengutarakan soalan-soalan yang terbenak dalam jiwa dan fikirannya.

 

Dia berkata, “Anakku, apakah naga itu dan kenapakah ia mengejari ayahmu ini?”

 

Anaknya menjawab, “Itu adalah amal buruk ayah, yang selalu ayah merangsanginya hingga ia menjadi kuat. Ia ingin menangkap ayah untuk ia campakkan ke dalam api neraka.” 

 

“Siapakah pula lelaki yang ayah temui itu, yang tidak mahu membantu ayah walaupun ayah merayu kepadanya?”

 

“Ayah, itu adalah amal solehmu, yang ayah selalu mengabaikannya menyebabkan ia menjadi lemah. Ia tidak membantu ayah kerana ia tidak memiliki kekuatan seperti amal burukmu itu,” ujar puterinya lagi.

 

“Anakku, apa yang kamu lakukan di gunung ini?”

 

Jawab puterinya itu, “Kami semua adalah anak-anak kecil umat Islam. Kami tinggal di sini hingga datangnya hari Kiamat untuk menunggu kalian yang mendatangi kami agar kami dapat beri syafaat kepada kalian.”

 

Setelah itu, Malik lantas tersedar daripada mimpinya dan terjaga daripada tidurnya. Ternyata mimpinya itu merupakan teguran lembut daripada Ilahi yang dianugerahi melalui titik sensitivitinya iaitu kasih sayang dan rasa rindunya kepada anak puterinya yang telah meninggal dunia.

 

Bertolak daripada peristiwa itu, Malik bin Dinar telah meninggalkan segala kemaksiatannya dan sentiasa konsisten dalam taubatnya, hingga Allah meningkatkan ia menjadi antara manusia yang beriman dan tinggi amalan solehnya berbanding manusia lain sezamannya.

 

Maka untuk kita pula, kisah itu bukanlah sesuatu yang perlu diceritakan kepada anak-anak sebagai cerita sebelum tidur semata-mata. Tetapi yang lebih utamanya, ia adalah untuk buat renungan diri sendiri. Pujuklah diri kita masing-masing dan tanyakanlah kepada diri sendiri, belumkah datang waktunya bagi saya untuk menundukkan hati saya untuk kembali mengingati Allah? 

 

“Ya Rabb kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat daripada sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia).” (Ali Imran 3 : 8).

  

Kisah tersebut saya adaptasikan daripada buku Muhammad Sa’id Mursi & Qasim Abdullah Ibrahim, 100 Kisah Teladan Tokoh Besar. Gema Insani, Depok : 2010. 



Buku ini boleh dibeli melalui http://synergymedia.my/30-cerita-tokoh-wanita-terulung-prd-27980/, iaitu pada harga RM25.90 sahaja atau @synergy_media90.

 

Kisah yang sama turut pernah diceritakan oleh Ustaz Ahmad Muhtad Bin Yusoff yang boleh dilayari di https://youtu.be/eJcDxUIcW0A. Beliau turut menyatakan sumber asalnya iaitu daripada Kitab At-Tauwabin nukilan Al-Imam Ibn Al-Jauzi ra.

 

Sunday, May 09, 2021

Konspirasi sihir terhadap Rasulullah saw

Rasulullah saw tidak membalaskan kejahatan kepada sesiapa yang menyakiti dirinya, walaupun kejahatan itu adalah sihir yang menyakitkan. 

Kisah Rasulullah saw disihir ada dinyatakan dalam suatu hadith sahih. Hadith tersebut ialah daripada Aisyah ra, beliau berkata, “Rasulullah saw pernah terkena sihir, hingga beliau merasa mendatangi isteri-isteri beliau, padahal beliau tidak mendatangi mereka.”  


Sufyan berkata, “Ini sihir yang paling dahsyat, apabila keadaannya demikian.” 

 

Lalu baginda bersabda, “Wahai Aisyah! Apakah kamu mengetahui bahwa Allah telah memberiku fatwa (petunjuk) dalam perkara yang dulu aku pernah meminta fatwa kepadaNya? 

 

“Aku didatangi dua orang (malaikat), lalu salah satunya duduk di sisi kepalaku sedangkan yang lain duduk di sisi kedua kakiku.

 

Maka orang yang duduk di sisi kepalaku bertanya kepada orang yang duduk di sisi kakiku, ‘Apa yang terjadi pada orang ini?’ 

 

Orang yang duduk di sisi kakiku menjawab, ‘la terkena sihir.’ 

 

Lalu orang yang duduk di sisi kepalaku bertanya, ‘Siapa yang menyihirnya?’ 

 

Yang duduk di sisi kedua kakiku menjawab, ‘Labid bin A’sham seorang laki-laki dari Bani Zuraiq, sekutu orang-orang Yahudi dan ia orang munafik.’ 

 

Yang duduk di sisi kepalaku bertanya, ‘Pada apa sihirnya?’ 

 

Yang duduk di sisi kedua kakiku menjawab, ‘Pada sisir dan rontokan rambut.’ 

 

Dia bertanya ‘Di mana?’

 

Dia menjawab, ‘Di kulit mayang kurma jantan di bawah dasar sumur Dzarwan.’”

 

Aisyah berkata, Lalu Nabi saw mendatangi sumur tersebut dan mengeluarkannya. Lalu baginda berkata, “Sumur inilah yang diperlihatkan kepadaku, seakan-akan airnya adalah celupan pohon pacar dan seolah-olah pohon kurmanya adalah kepala-kepala syaitan.”

 

Dia (Sufyan) berkata, “Maka baginda mengeluarkannya.”

 

Aisyah berkata, “Maka aku berkata kepada Nabi, “Mengapa kau tidak menyebarkannya?” 

 

Lalu baginda menjawab, “Allah telah memberiku kesembuhan, dan aku tidak suka menebar keburukan kepada sesiapa pun.”

 

Untuk manfaat semua, “sumur” ialah telaga atau perigi. Manakala “sisir dan rontokan rambut” pula mungkin ialah helaian rambut yang gugur yang disimpulkan. 

 

Kisah ini dititip berdasarkan hadith Sahih Bukhari, no 5765, yang boleh dirujuk di sini https://sunnah.com/bukhari/76/79.

 

Kisah sihir ini adalah sebahagian daripada 14 konspirasi pembunuhan Nabi saw. Rujuk Abu Yusuf Muhammad Zayid dan Syaikh Said bin Wafr al-Qahthani, Nabi saw Wafat Kerana Diracun? Multazam, Solo : 2008, untuk konspirasi-konspirasi yang seterusnya.






Friday, May 07, 2021

Gaji lima dirham, jom berkatkan rezeki!

Ada suatu kisah ajaib yang pernah diceritakan oleh Shamsuddin Kadir dalam bukunya, “Beli Emas : Kekayaan Semasa Senang dan Pelindung Semasa Gawat”, yang tidak mungkin difahami melainkan oleh pemilik-pemilik emosi yang berhikmah.

Kisah ini dikatakan telah berlaku semasa era Imam Syafie rahimahullah (era kehidupan beliau ialah 150H - 204H). Iaitu mengenai seorang lelaki yang mempunyai pekerjaan yang baik dengan majikannya, dan mendapat gaji sebanyak lima dirham (mungkin pada kadar harian, wallahu a’lam).

 

Untuk memudahkan pemahaman, nilai lima dirham pada ketika ini ialah sekitar RM97.50.

 

Dikisahkan bahawa walaupun lelaki tersebut memperolehi pendapatan sebanyak itu, beliau masih tidak mampu memberikan saraan yang mencukupi untuk dirinya dan keluarganya.

 

Maka beliau pun pergilah bertemu dengan Imam Syafie rahimahullah yang terkenal dengan keilmuan dan kesolehan, bagi mengadukan nasibnya. 

 

“Saudara pulanglah kepada majikan saudara, dan mintalah untuk dikurangkan gaji kepada empat dirham sahaja,” nasihat Imam Syafie.


“Apa betul tuan menasihati saya untuk meminta kepada majikan saya agar dikurangkan gaji, sedangkan gaji yang saya terima pada ketika ini adalah tidak mencukupi untuk saya?” Tanya beliau kepada Imam Syafie meminta kepastian.

 

“Ya, begitulah,” jawab Imam Syafie.

 

Lantas lelaki itu, berbekalkan keyakinan terhadap keilmuan dan kesolehan Imam Syafie, pergi berjumpa dengan majikannya dan menyampaikan apa yang dinasihatkan oleh Imam Syafie itu. Sudah pastilah majikannya itu, dengan hati yang senang, mengabuli permintaan lelaki itu.

 

Selepas beberapa bulan, lelaki tersebut datang menemui Imam Syafie sekali lagi untuk mengadukan nasibnya. 

 

Dengan raut muka yang sedih, lelaki itu berkata, “Tuan, saya telah melakukan apa yang tuan nasihatkan. Sekarang gaji yang saya terima ialah empat dirham sahaja, berbanding lima dirham sebelum ini. Sudah pastilah saya masih tidak mampu untuk menyara keluarga saya dengan kehidupan yang baik.”

 

“Kalau begitu, saudara mintalah kepada majikan saudara agar dikurangkan gaji kepada tiga dirham sahaja,” nasihat Imam Syafie seterusnya.

 

Dengan rasa berat hati, beliau sekali lagi menyampaikan nasihat Imam Syafie tersebut kepada majikannya. Dan seperti yang diduga, permintaannya itu segera ditunaikan oleh majikannya. 

 

Maka lelaki itu pun meneruskan kerjanya, dengan gaji 60% sahaja berbanding gaji asalnya. Lalu selepas beberapa bulan berlalu, lelaki itu kembali menemui Imam Syafie. Tetapi pada kali ini, beliau datang dengan raut wajah yang berseri-seri, dan dengan langkahan yang lebih bertenaga.

 

“Tuan,” katanya sambil memandang tepat ke wajah Imam Syafie. “Saya telah hidup beberapa bulan dengan gaji yang jauh berkurangan daripada apa yang asalnya saya terima dahulu, tetapi kehidupan saya menjadi lebih baik.” 

 

Mendengarkan perkataan lelaki itu, Imam Syafie mengangguk-angguk sambil tersenyum lembut.

 

“Saya bersyukur dengan perubahan ini,” kata lelaki itu. “Tetapi tuan, bagaimana ini boleh terjadi?”

 

Lalu Imam Syafie menerangkan bahawa dengan pekerjaan yang lelaki itu lakukan, beliau hanya berhak menerima upah yang tidak lebih daripada tiga dirham sahaja. Disebabkan dua dirham tambahan yang beliau terima sebagai gajinya itu, beliau telah mencabut keberkatan hartanya, kerana sudah bercampur dengan yang haram.

 

Lalu Imam Syafie bersyair, "Dia kumpulkan yang haram dengan yang halal supaya ia menjadi banyak. Yang haram masuk ke dalam yang halal lalu merosakkan semuanya." 

 

Kisah ini saya rujuk dari buku Shamsuddin Kadir bertajuk “Beli Emas : Kekayaan Semasa Senang, Pelindung Ketika Gawat”, iaitu pada muka surat 19-21 (yang saya ubahsuaikan). Buku itu ialah terbitan Shamsuddin Kadir sendiri dengan cetakan keduanya ialah pada tahun 2019.


Shamsuddin Kadir, Beli Emas : Kekayaan Semasa Senang, Pelindung Ketika Gawat. Shamsuddin Kadir, Kuala Lumpur : 2019.

Shamsuddin Kadir menulis, “Daripada kisah tadi, kita boleh merujuk kepada kisah hidup kita sama ada kesempitan yang kita alami itu disebabkan rezeki yang tidak cukup, ataupun ia berlebihan dengan wang haram yang sudah bercampur aduk dengan yang halal. Mendapat dividen dari akaun simpanan yang konvensional sudah cukup menunjukkan ada harta haram yang sudah menyelinap masuk ke dalam kewangan kita.”

 

Secara peribadi, saya masih mencari-cari buku-buku para ulama yang menceritakan mengenai kisah yang sama ini. Jika saya terjumpa kelak, insyaAllah saya akan kemaskinikan di sini.

 

Saya suka menambah dua ibrah yang lain yang saya perolehi daripada kisah ini. Pertamanya mengenai kehidupan kita ini, barangkali melebihi daripada kecukupan. Dan jika kita lalui kehidupan seharian kita dengan taraf kecukupan sahaja, berbanding kemewahan; maka kita mungkin akan mendapati bahawa terdapat jumlah lebihan yang boleh kita gunakan untuk simpanan hari tua dan tabungan kecemasan. Maka tepatlah dengan tema buku tersebut iaitu “Kekayaan ketika senang, pelindung ketika gawat.”

 

Ibrah keduanya ialah mengenai keberkatan kerja. Bekerjalah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, insyaAllah rezeki yang terhasil daripadanya akan memberkati kehidupan kita sekeluarga.

 

Buku Shamsuddin Kadir tersebut telah dikemaskini baru-baru ini dengan cetakan ketiga, dan boleh dibeli pada harga RM40 sahaja. Layari capaian ini jika berhasrat membelinya :  https://shamsuddinkadir.onpay.my/order/form/bukushamsuddinkadir2020.