Saturday, November 01, 2025

Keperluan memajukan diri sendiri

I learnt today that :

“Orang berjiwa besar mempunyai pandangan jauh ke hadapan dan berwawasan. Marilah kita menuju kemuliaan wahai orang yang bersungguh-sungguh. Marilah menuju ketinggian. Buanglah rasa mengantuk. Tinggalkan kemalasan. Naikilah tangga kreativiti. Majulah ke puncak kesempurnaan dan senandungkan selalu dalam hatimu, ‘Sentiasa majukan diri, baik dalam keadaan senang ataupun susah.’” 

Ruj : Dr. Aidh Abdullah al-Qarni, Kunci Kejayaan Minda. Telaga Biru, Kuala Lumpur : 2008.

Tuesday, November 05, 2024

Kalah perang atau menang perang sama sahaja

Kata-kata ‘Ubadah bin ash-Shamit kepada al-Muqauqis, raja Mesir, “Bagi kami, kalah perang atau menang perang sama sahaja. Kalau menang melawan kalian, kami akan memperoleh kemenangan perang. Kalau kami kalah, kami akan memperoleh kemenangan akhirat."

Rujukan : Dr Abdur Rahman Umairah, Tokoh-Tokoh yang Diabadikan al-Quran, Jilid 1. Gema insani Press, Jakarta : 2000. Muka surat 170. 

Monday, July 25, 2022

Saya mencetak kader

[Saya mencetak kader]

 

Imam Hassan al-Banna dikenali sebagai seorang yang berfikiran luas yang melangkaui zaman. Fikrahnya banyak memukau para ulama besar sezamannya.

 

Dengan itu, beliau sering diminta untuk menulis kitab-kitab agar menjadi rujukan masyarakat.

 

Bagi permintaan sedemikian, beliau memberikan respons, “Saya tidak mencetak buku, tetapi mencetak kader. Setiap kader cetakan saya yang ditugaskan ke kawasan tertentu, pasti akan mendapat sambutan masyarakat di situ. Maka setiap orang daripada mereka adalah kitab hidup yang berjalan dalam masyarakat, mereka mengisi akal dan hati masyarakat. Iaitu menyebarkan kepada masyarakat apa yang ada dalam hati, jiwa dan akal mereka; lalu daripada mereka inilah individu-individu sebagaimana sebelumnya telah dicetak.”

 

Diadaptasikan daripada buku 100 Pelajaran Dari Para Pemimpin Ikhwanul Muslimin, tulisan Muhamad Abdul Hamid. Diterbitkan pleh Robbani Press, Jakarta pada 2001. Muka surat 46.

 

Thursday, August 26, 2021

Dakwah fardhiyah oleh Abdullah bin Salam ra

Abdullah bin Salam ra adalah salah seorang pendita kaum Yahudi di Yathrib, yang mahir dengan kandungan kitab Taurat. Dia telah menyatakan keIslamannya kepada Allah dan RasulNya selepas penghijrahan Nabi, dan meninggal dunia sebagai salah seorang sahabat Rasulullah saw yang terkemuka. Dan Rasulullah saw memperakukan beliau sebagai salah seorang ahli syurga.

Dia telah mengangkat panji-panji Islam kepada masyarakatnya dan mendakwahi mereka kepada agama yang benar ini.

Dikhabarkan bahawa beliau telah mengajak dua orang saudaranya untuk memeluk Islam. Iaitu Salamah dan Muhajir.

Dalam pujukannya, dia berkata, "Kalian berdua tahu bahawa Allah berfirman dalam Taurat, 'Sungguh, Aku akan mengutus seorang nabi bernama Ahmad dari keturunan Ismail. Orang yang beriman kepadanya mendapat penunjuk dan bimbingan, sedangkan orang yang tidak beriman akan dilaknat.'"

Hasil daripada dakwah tersebut, saudara Abdullah bin Salam ra yang bernama Salamah telah memeluk Islam dengan hidayah daripada Allah swt. Namun, saudaranya yang seorang lagi telah menolak ajakan tersebut.

Maka peristiwa ini menjadi asbab kepada penurunan ayat 130 daripada Surah al-Baqarah, yang bermaksud, "Dan orang yang membenci agama Ibrahim, hanyalah orang yang memperbodoh dirinya sendiri. Dan sungguh, kami telah memilihnya (Ibrahim) di dunia ini. Dan sesungguhnya di akhirat dia termasuk daripada kalangan orang-orang yang salih."

Rujukan : Dr Ahmad Hatta, Tafsir al-Quran Per Kata. Pustaka Maghfirah, Jakarta : 2009. Halaman 20.


Wednesday, August 25, 2021

Semut yang dikabulkan doanya


Pada suatu hari dalam zaman dan wilayah pemerintahan Nabi Sulaiman as, keadaan kemarau berlaku apabila awan sudah lama tidak menurunkan hujan. Lalu rakyat negeri tersebut datang mengadap Nabi Sulaiman as dan memohon baginda untuk melakukan sesuatu.

Maka baginda as pergi ke tempat tersebut bersama sebahagian rakyat dan sahabat-sahabatnya. Mereka merancang untuk berdoa dan memohon ke hadrat Ilahi Yang Maha Pemurah, Pemberi Kurnia dan Pemberi Rezeki untuk menurunkan hujan bagi membasahi bumi yang tandus tersebut.

Tiba-tiba Nabi Sulaiman as ternampak ada seekor semut yang sedang berdiri di atas kaki-kakinya, manakala kedua tangannya ditadahkan ke langit. Rupa-rupanya semut tersebut sedang berdoa dengan doa yang menyahdukan, "Ya Allah! Hamba ini adalah salah satu makhlukMu yang amat memerlukan kurniaanMu."

Mendengarkan rintihan semut tersebut, maka Nabi Sulaiman as pun menyedari perubahan alam yang berlaku. Dari jauh Nabi Sulaiman dapat merasai tiupan angin, yang membawakan ke tempat itu awan-awan yang sarat dengan kelembapan air.

Lalu tanpa sempat rombongan Nabi Sulaiman tersebut memulakan majlis yang mereka rancangkan, Nabi Sulaiman as telah menyuraikan mereka dan menyuruh mereka pulang. 

Kata baginda as, "Pulanglah kalian! Kalian akan diberikan hujan. Semut itu meminta hujan, dan doanya sudah dimakbulkan."

Bumi yang tandus sejak sekian lama, telah menjadi lembab dan subur. Semuanya hasil daripada doa sang semut yang halus tersebut.

Rujukan : Ibnu Kathir, Kisah Para Nabi. Ummul Qura, Jakarta : 2013. Halaman 765 - 766.



Friday, August 20, 2021

Ketawadhukan hati Salman al-Farisi ra

Salman Al-Farisi ra adalah salah seorang sahabat yang ternama. Beliau meninggal dunia ketika zaman pemerintahan Khalifah Uthman al-Affan ra. Seorang yang zuhud dan tawadhuk.

Pernah diriwayatkan bahawa semasa beliau diamanahkan menjawat jawatan Amir di Madain, beliau menolak menerima gaji walau satu dirham sekalipun. Sebaliknya beliau menyara diri dan keluarganya melalui aktiviti menganyam daun kurma.

Dalam kesederhanaan hidupnya itu, beliau tidak kelihatan banyak berbeza jika dibandingkan dengan golongan pekerja bawahan.

Pada suatu hari, seorang lelaki dari Syria telah tiba di Kota Madain. Beliau memikul buah tin dan kurma yang berat di belakangnya. Ternyata lelaki itu kepenatan. 

Kemudian lelaki itu telah terserempak dengan Salman al-Farisi ini, yang ia tidak kenali. Apatah lagi dengan gaya dan pakaian seperti rakyat bawahan. 

Lalu terfikirnya untuk mengupah pekerja bagi membantunya membawa pikulan barang tersebut ke destinasinya. Maka ia pun memanggil Salman ra sedangkan ia masih tidak mengenalinya, dan menyuruh sahabat Rasulullah saw yang mulia tersebut membantunya memikul barangannya.

Maka Salman pun, atas sifat ketawadhukannya, telah menurut arahan lelaki itu tanpa banyak soal. Lalu dipikulnya bebanan yang berat itu di belakangnya sambil mengikuti arah tujuan lelaki Syria itu. Mereka berjalan melalui lorong-lorong di kota itu.

Dalam perjalanan, mereka telah terserempak dengan suatu kumpulan manusia. Salman pun memberi salam kepada mereka. 

Rombongan itu berhenti, sambil membalas salam Salman ra, "Juga kepada Amir, kami ucapkan salam."

"Juga kepada Amir? Amir mana yang mereka maksudkan?" Tanya lelaki Syria itu dalam hatinya. 

Kehairanannya kian bertambah ketika dilihatnya sebahagian daripada anggota rombongan itu meminta untuk menggantikan Salman  memikul berangan itu. Kata mereka,"Berikanlah kepada kami, wahai Amir!”

Maka barulah lelaki Syria itu mengetahui siapa gerangan lelaki miskin yang disuruhnya memikul barangannya. Iaitu Salman al-Farisi ra, sahabat Nabi saw yang mulia yang pernah diperakukan Nabi saw sebagai sebahagian daripada anggota keluarga baginda. Yang juga kini menjawat jawatan yang tertinggi, iaitu sebagai Amir, di kota Madain yang ia sedang kunjungi itu.

Dengan segera, lelaki Syria itu menerpa kepada Salman ra, lalu meminta kembali barangannya untuk dibawanya sendiri.

Tetapi dengan rendah diri, Salman menggelengkan kepada dan menolak permintaan lelaki itu. Sebaliknya beliau bertegas untuk terus membantu membawakan sendiri bebanan lelaki itu hingga sampai ke tempat tujuannya. 

Begitulah suatu kisah mengenai ketawadhukan hati Salman al-Farisi ra.

Rujukan : Khalid Muhammad Khalid, Karekteristik Peri Hidup 60 Sahabat Rasulullah. Victory Agencie, Bandung : 1994. Halaman 71.

Thursday, July 29, 2021

Tiada persaraan dalam jihad dan amal Islami

 Tiada persaraan dalam jihad dan amal Islami.

Ketika perjuangan Nabi saw melalui pelbagai fasa, iaitu daripada fasa sirriyah (kerahsiaan) kepada jahriyyah (terang-terangan), hingga akhirnya mencapai kemenangan dan perluasan wilayah dakwah serta penerimaan masyarakat Arab, maka sebahagian daripada sahabat-sahabat Ansar mula berfikir untuk berehat dan bersara.

Apa tidaknya, mereka telah lama meninggalkan pengurusan kebun tanaman dan keluarga. Maka berselarian dengan fitrah manusia, iaitu apabila merasakan bahawa perjuangan telah mencapai kejayaan, maka sampailah masa untuk berehat sebentar atau bersara. Atau memberikan tonggak perjuangan kepada barisan muda yang kuat dan bertenaga, untuk mengambil alih tampuk perjuangan.

Situasi ini diceritakan sendiri oleh sahabat senior, Abu Ayub al-Ansari ra. Beliau adalah sahabat Ansar yang panjang umur dan tidak pernah mengundur diri daripada medan, hinggakan akhirnya syahid pada usia lanjut di perbatasan Konstantinopal.

Ketika perang memuncak di Konstantinopal, seorang perajurit muslim telah secara sendirian masuk menyerang barisan musuh hingga memporak-porandakan pasukan musuh. Melihat keadaan itu, sebahagian daripada pasukan muslim telah berkata, "Beliau telah mencampakkan diri ke dalam kebinasaan," sambil merujuk kepada ayat 195 daripada surah al-Baqarah, yang bermaksud, "Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan."

Maka Abu Ayyub al-Ansari ra yang berada berdekatannya lantas menegur pentafsiran ayat tersebut oleh perajurit itu. Katanya, "Kami (sahabat Ansar) lebih memahami ayat ini. Sesungguhnya ayat ini turun berkenaan dengan kami."

Beliau ra kemudiannya menjelaskan, "Kami menjadi sahabat Rasulullah saw. Kami telah melibatkan diri dengan peperangan demi peperangan bersama-sama baginda saw, dan kami membelanya."

Beliau menyambung lahi, "Ketika Islam telah tersebar luas dan menjadi unggul, maka sebahagian kami iaitu kaum Ansar berkumpul dan mengungkapkan kata-kata syukur dan kebahagiaan. Lalu sebahagian daripada kami mengatakan, 'Sesungguhnya Allah telah memuliakan kita sebagai sahabat dan pembela Nabi saw sehingga Islam tersebar luas dan memiliki banyak penganut. Dan kita telah mengutamakan baginda saw daripada keluarga, harta kekayaan dan anak-anak. Tetapi peperangan kini telahpun berakhir. Maka marilah kita kembali kepada keluarga dan anak-anak kita masing-masing, dan tinggal menetap bersama mereka."

Abu Ayyub seterusnya berkata, "Maka Allah swt perturunkat ayat, 'Dan belanjakanlah harta kamu di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan. (Surah al-Baqarah 2:195).' Jadi kebinasaan itu ada pada tindakan kami yang ingin tinggal menetap bersama keluarga dan harta kekayaan, serta meninggalkan jihad."

Hadith ini adalah hasan sahih gharib, daripada riwayat at-Tirmizi. 

Rujukan : Tafsir Ibnu Kathir, Jilid 1. Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta : 2011. Iaitu pada halaman 628-629.