Iman dan Islam adalah dua bentuk nikmat yang dikurniakan Allah swt kepada kita, yang wajib kita syukuri dengan sepenuhnya. Syukur yang dimaksudkan tidaklah cukup hanya sekadar perasaan berterima kasih semata-mata, tetapi mestilah dihayati dalam bentuknya yang lebih sempurna, iaitu menggabungkan diri kita dengan Islam sepenuhnya.
Fathi Yakan telah menulis, “Penggabungan diri ke dalam agama Islam bukanlah penggabungan yang diwarisi, yang bersifat hobi atau kesukaan, ataupun secara lahiriah. Tetapi sebaliknya, penggabungan yang dimaksudkan ialah penggabungan ke dalam Islam itu sendiri, beriltizam dengannya dan menyesuaikan diri kita mengikut kehendaknya.”
Penggabungan diri itu juga bermaksud kita bersikap dan bertindak mengikut garisan yang Allah gariskan, bukan mengikut apa yang kita sukai atau fikirkan wajar. Dalam hal ini, Anis Matta menulis, “Seseorang Muslim tidak bertanya tentang apa yang ia inginkan bagi dirinya atau hidupnya. Namun, seseorang Muslim itu akan bertanya tentang apa yang Allah swt inginkan bagi dirinya. Dia tidak bertanya, ‘Saya ingin menjadi apa?’ Sebaliknya dia bertanya, ‘Allah menginginkan saya menjadi apa?’”
Penggabungan itu juga beerti kita mesti bersifat dengan sifat-sifat mereka yang hidup untuk Islam. Ini termasuklah:
- Menghubung dan mengikat kehidupan kita sepenuhnya dengan cara hidup Islam, baik dari segi keyakinan, ibadat dan akhlak;
- Mengutamakan kepentingan Islam walaupun di mana sahaja kita berada;
- Merasa mulia dengan kebenaran Islam dan yakin kepada Allah swt; dan
- Memberi sumbangan kepada Islam dengan cara bekerja untuk Islam dan bekerjasama dengan pekerja-pekerja Islam yang lain.
Jalan tarbiyah ialah kaedah yang boleh mempertingkatkan peringkat atau tahap diri kita, malah ia adalah satu-satunya jalan. Tetapi ia bukanlah mudah kerana ia biasanya terdiri daripada yang berikut :
- Ia sukar, tetapi hasilnya berkualiti;
- Ia panjang, tetapi terpelihara keaslian natijahnya, dan
- Ia lambat, tetapi hasilnya terjamin.
Gagasan perubahan ini tidak menumpukan kepada elemen-elemen tertentu di dalam Islam sahaja, malah ia akan merangkumi kesemua ruang lingkup Islam yang sempurna. Imam Hassan al-Banna menyimpulkan elemen-elemen perubahan sebagai berikut :
- Dakwah salafi, kerana kita hendak kembali kepada Islam dengan merujuk kepada sumbernya yang asli, iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw;
- Tarikat sunni, kerana kita mengamalkan sunnah dalam segenap perkara, terutama dalam aspek akidah dan ibadah;
- Hakikat sufi, kerana kita menghendaki jiwa yang suci, hati yang bersih, kesinambungan amal, tidak menaruh harapan kepada makhluk, cinta kepada Allah dan menghubungkan diri dengan perkara yang baik;
- Badan politik, kerana kita menyeru kepada sistem Islam dalam pemerintahan negara;
- Komuniti sukan, kerana kita menitik-beratkan soal kesihatan dan kekuatan tubuh badan;
- Ikatan intelektual dan budaya, kerana kita perlu memberi dan menerima pelajaran dan pendidikan kepada jasad, akal dan ruh;
- Syarikat ekonomi, kerana anjuran Nabi saw ialah juga kepada pengurusan kewangan dan pencarian harta yang halal;
- Gagasan sosial, kerana pengislahan diri tidak lengkap tanpa pengislahan masyarakat.
