Tiada persaraan dalam jihad dan amal Islami.
Ketika perjuangan Nabi saw melalui pelbagai fasa, iaitu daripada fasa sirriyah (kerahsiaan) kepada jahriyyah (terang-terangan), hingga akhirnya mencapai kemenangan dan perluasan wilayah dakwah serta penerimaan masyarakat Arab, maka sebahagian daripada sahabat-sahabat Ansar mula berfikir untuk berehat dan bersara.
Apa tidaknya, mereka telah lama meninggalkan pengurusan kebun tanaman dan keluarga. Maka berselarian dengan fitrah manusia, iaitu apabila merasakan bahawa perjuangan telah mencapai kejayaan, maka sampailah masa untuk berehat sebentar atau bersara. Atau memberikan tonggak perjuangan kepada barisan muda yang kuat dan bertenaga, untuk mengambil alih tampuk perjuangan.
Situasi ini diceritakan sendiri oleh sahabat senior, Abu Ayub al-Ansari ra. Beliau adalah sahabat Ansar yang panjang umur dan tidak pernah mengundur diri daripada medan, hinggakan akhirnya syahid pada usia lanjut di perbatasan Konstantinopal.
Ketika perang memuncak di Konstantinopal, seorang perajurit muslim telah secara sendirian masuk menyerang barisan musuh hingga memporak-porandakan pasukan musuh. Melihat keadaan itu, sebahagian daripada pasukan muslim telah berkata, "Beliau telah mencampakkan diri ke dalam kebinasaan," sambil merujuk kepada ayat 195 daripada surah al-Baqarah, yang bermaksud, "Dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan."
Maka Abu Ayyub al-Ansari ra yang berada berdekatannya lantas menegur pentafsiran ayat tersebut oleh perajurit itu. Katanya, "Kami (sahabat Ansar) lebih memahami ayat ini. Sesungguhnya ayat ini turun berkenaan dengan kami."
Beliau ra kemudiannya menjelaskan, "Kami menjadi sahabat Rasulullah saw. Kami telah melibatkan diri dengan peperangan demi peperangan bersama-sama baginda saw, dan kami membelanya."
Beliau menyambung lahi, "Ketika Islam telah tersebar luas dan menjadi unggul, maka sebahagian kami iaitu kaum Ansar berkumpul dan mengungkapkan kata-kata syukur dan kebahagiaan. Lalu sebahagian daripada kami mengatakan, 'Sesungguhnya Allah telah memuliakan kita sebagai sahabat dan pembela Nabi saw sehingga Islam tersebar luas dan memiliki banyak penganut. Dan kita telah mengutamakan baginda saw daripada keluarga, harta kekayaan dan anak-anak. Tetapi peperangan kini telahpun berakhir. Maka marilah kita kembali kepada keluarga dan anak-anak kita masing-masing, dan tinggal menetap bersama mereka."
Abu Ayyub seterusnya berkata, "Maka Allah swt perturunkat ayat, 'Dan belanjakanlah harta kamu di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan. (Surah al-Baqarah 2:195).' Jadi kebinasaan itu ada pada tindakan kami yang ingin tinggal menetap bersama keluarga dan harta kekayaan, serta meninggalkan jihad."
Hadith ini adalah hasan sahih gharib, daripada riwayat at-Tirmizi.
Rujukan : Tafsir Ibnu Kathir, Jilid 1. Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta : 2011. Iaitu pada halaman 628-629.
