Salman Al-Farisi ra adalah salah seorang sahabat yang ternama. Beliau meninggal dunia ketika zaman pemerintahan Khalifah Uthman al-Affan ra. Seorang yang zuhud dan tawadhuk.
Pernah diriwayatkan bahawa semasa beliau diamanahkan menjawat jawatan Amir di Madain, beliau menolak menerima gaji walau satu dirham sekalipun. Sebaliknya beliau menyara diri dan keluarganya melalui aktiviti menganyam daun kurma.
Dalam kesederhanaan hidupnya itu, beliau tidak kelihatan banyak berbeza jika dibandingkan dengan golongan pekerja bawahan.
Pada suatu hari, seorang lelaki dari Syria telah tiba di Kota Madain. Beliau memikul buah tin dan kurma yang berat di belakangnya. Ternyata lelaki itu kepenatan.
Kemudian lelaki itu telah terserempak dengan Salman al-Farisi ini, yang ia tidak kenali. Apatah lagi dengan gaya dan pakaian seperti rakyat bawahan.
Lalu terfikirnya untuk mengupah pekerja bagi membantunya membawa pikulan barang tersebut ke destinasinya. Maka ia pun memanggil Salman ra sedangkan ia masih tidak mengenalinya, dan menyuruh sahabat Rasulullah saw yang mulia tersebut membantunya memikul barangannya.
Maka Salman pun, atas sifat ketawadhukannya, telah menurut arahan lelaki itu tanpa banyak soal. Lalu dipikulnya bebanan yang berat itu di belakangnya sambil mengikuti arah tujuan lelaki Syria itu. Mereka berjalan melalui lorong-lorong di kota itu.
Dalam perjalanan, mereka telah terserempak dengan suatu kumpulan manusia. Salman pun memberi salam kepada mereka.
Rombongan itu berhenti, sambil membalas salam Salman ra, "Juga kepada Amir, kami ucapkan salam."
"Juga kepada Amir? Amir mana yang mereka maksudkan?" Tanya lelaki Syria itu dalam hatinya.
Kehairanannya kian bertambah ketika dilihatnya sebahagian daripada anggota rombongan itu meminta untuk menggantikan Salman memikul berangan itu. Kata mereka,"Berikanlah kepada kami, wahai Amir!”
Maka barulah lelaki Syria itu mengetahui siapa gerangan lelaki miskin yang disuruhnya memikul barangannya. Iaitu Salman al-Farisi ra, sahabat Nabi saw yang mulia yang pernah diperakukan Nabi saw sebagai sebahagian daripada anggota keluarga baginda. Yang juga kini menjawat jawatan yang tertinggi, iaitu sebagai Amir, di kota Madain yang ia sedang kunjungi itu.
Dengan segera, lelaki Syria itu menerpa kepada Salman ra, lalu meminta kembali barangannya untuk dibawanya sendiri.
Tetapi dengan rendah diri, Salman menggelengkan kepada dan menolak permintaan lelaki itu. Sebaliknya beliau bertegas untuk terus membantu membawakan sendiri bebanan lelaki itu hingga sampai ke tempat tujuannya.
Begitulah suatu kisah mengenai ketawadhukan hati Salman al-Farisi ra.
Rujukan : Khalid Muhammad Khalid, Karekteristik Peri Hidup 60 Sahabat Rasulullah. Victory Agencie, Bandung : 1994. Halaman 71.

No comments:
Post a Comment