Ada suatu kisah ajaib yang pernah diceritakan oleh Shamsuddin Kadir dalam bukunya, “Beli Emas : Kekayaan Semasa Senang dan Pelindung Semasa Gawat”, yang tidak mungkin difahami melainkan oleh pemilik-pemilik emosi yang berhikmah.
Kisah ini dikatakan telah berlaku semasa era Imam Syafie rahimahullah (era kehidupan beliau ialah 150H - 204H). Iaitu mengenai seorang lelaki yang mempunyai pekerjaan yang baik dengan majikannya, dan mendapat gaji sebanyak lima dirham (mungkin pada kadar harian, wallahu a’lam).
Untuk memudahkan pemahaman, nilai lima dirham pada ketika ini ialah sekitar RM97.50.
Dikisahkan bahawa walaupun lelaki tersebut memperolehi pendapatan sebanyak itu, beliau masih tidak mampu memberikan saraan yang mencukupi untuk dirinya dan keluarganya.
Maka beliau pun pergilah bertemu dengan Imam Syafie rahimahullah yang terkenal dengan keilmuan dan kesolehan, bagi mengadukan nasibnya.
“Saudara pulanglah kepada majikan saudara, dan mintalah untuk dikurangkan gaji kepada empat dirham sahaja,” nasihat Imam Syafie.
“Apa betul tuan menasihati saya untuk meminta kepada majikan saya agar dikurangkan gaji, sedangkan gaji yang saya terima pada ketika ini adalah tidak mencukupi untuk saya?” Tanya beliau kepada Imam Syafie meminta kepastian.
“Ya, begitulah,” jawab Imam Syafie.
Lantas lelaki itu, berbekalkan keyakinan terhadap keilmuan dan kesolehan Imam Syafie, pergi berjumpa dengan majikannya dan menyampaikan apa yang dinasihatkan oleh Imam Syafie itu. Sudah pastilah majikannya itu, dengan hati yang senang, mengabuli permintaan lelaki itu.
Selepas beberapa bulan, lelaki tersebut datang menemui Imam Syafie sekali lagi untuk mengadukan nasibnya.
Dengan raut muka yang sedih, lelaki itu berkata, “Tuan, saya telah melakukan apa yang tuan nasihatkan. Sekarang gaji yang saya terima ialah empat dirham sahaja, berbanding lima dirham sebelum ini. Sudah pastilah saya masih tidak mampu untuk menyara keluarga saya dengan kehidupan yang baik.”
“Kalau begitu, saudara mintalah kepada majikan saudara agar dikurangkan gaji kepada tiga dirham sahaja,” nasihat Imam Syafie seterusnya.
Dengan rasa berat hati, beliau sekali lagi menyampaikan nasihat Imam Syafie tersebut kepada majikannya. Dan seperti yang diduga, permintaannya itu segera ditunaikan oleh majikannya.
Maka lelaki itu pun meneruskan kerjanya, dengan gaji 60% sahaja berbanding gaji asalnya. Lalu selepas beberapa bulan berlalu, lelaki itu kembali menemui Imam Syafie. Tetapi pada kali ini, beliau datang dengan raut wajah yang berseri-seri, dan dengan langkahan yang lebih bertenaga.
“Tuan,” katanya sambil memandang tepat ke wajah Imam Syafie. “Saya telah hidup beberapa bulan dengan gaji yang jauh berkurangan daripada apa yang asalnya saya terima dahulu, tetapi kehidupan saya menjadi lebih baik.”
Mendengarkan perkataan lelaki itu, Imam Syafie mengangguk-angguk sambil tersenyum lembut.
“Saya bersyukur dengan perubahan ini,” kata lelaki itu. “Tetapi tuan, bagaimana ini boleh terjadi?”
Lalu Imam Syafie menerangkan bahawa dengan pekerjaan yang lelaki itu lakukan, beliau hanya berhak menerima upah yang tidak lebih daripada tiga dirham sahaja. Disebabkan dua dirham tambahan yang beliau terima sebagai gajinya itu, beliau telah mencabut keberkatan hartanya, kerana sudah bercampur dengan yang haram.
Lalu Imam Syafie bersyair, "Dia kumpulkan yang haram dengan yang halal supaya ia menjadi banyak. Yang haram masuk ke dalam yang halal lalu merosakkan semuanya."
Kisah ini saya rujuk dari buku Shamsuddin Kadir bertajuk “Beli Emas : Kekayaan Semasa Senang, Pelindung Ketika Gawat”, iaitu pada muka surat 19-21 (yang saya ubahsuaikan). Buku itu ialah terbitan Shamsuddin Kadir sendiri dengan cetakan keduanya ialah pada tahun 2019.
Shamsuddin Kadir menulis, “Daripada kisah tadi, kita boleh merujuk kepada kisah hidup kita sama ada kesempitan yang kita alami itu disebabkan rezeki yang tidak cukup, ataupun ia berlebihan dengan wang haram yang sudah bercampur aduk dengan yang halal. Mendapat dividen dari akaun simpanan yang konvensional sudah cukup menunjukkan ada harta haram yang sudah menyelinap masuk ke dalam kewangan kita.”
Secara peribadi, saya masih mencari-cari buku-buku para ulama yang menceritakan mengenai kisah yang sama ini. Jika saya terjumpa kelak, insyaAllah saya akan kemaskinikan di sini.
Saya suka menambah dua ibrah yang lain yang saya perolehi daripada kisah ini. Pertamanya mengenai kehidupan kita ini, barangkali melebihi daripada kecukupan. Dan jika kita lalui kehidupan seharian kita dengan taraf kecukupan sahaja, berbanding kemewahan; maka kita mungkin akan mendapati bahawa terdapat jumlah lebihan yang boleh kita gunakan untuk simpanan hari tua dan tabungan kecemasan. Maka tepatlah dengan tema buku tersebut iaitu “Kekayaan ketika senang, pelindung ketika gawat.”
Ibrah keduanya ialah mengenai keberkatan kerja. Bekerjalah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, insyaAllah rezeki yang terhasil daripadanya akan memberkati kehidupan kita sekeluarga.
Buku Shamsuddin Kadir tersebut telah dikemaskini baru-baru ini dengan cetakan ketiga, dan boleh dibeli pada harga RM40 sahaja. Layari capaian ini jika berhasrat membelinya : https://shamsuddinkadir.onpay.my/order/form/bukushamsuddinkadir2020.


No comments:
Post a Comment