Saya menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan pada 30hb Mei 2007 yang menolak rayuan Azalina Jailani (Lina Joy) di dalam tindakan undang-undangnya terhadap Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Dua Yang Lain.
Keputusan tersebut, yang dibuat secara majoriti, telah mengekalkan kedudukan mahkamah syariah di sisi perlembagaan dan mengesahkan bidangkuasanya berhubung isu-isu yang berkaitan dengan undang-undang syariah di negara ini.
Keputusan ini, walaupun ia merupakan kemenangan kepada Islam, adalah bersifat sementara sahaja. Ini adalah kerana golongan-golongan yang menentang kedaulatan mahkamah-mahkamah syariah akan terus berusaha tanpa henti demi untuk mengugat Islam dengan menggunakan pelbagai cara dan mekanisme. Mereka tidak akan ragu-ragu untuk mengulangi penggunaan saluran undang-undang dan mahkamah tanpa jemu, sambil mengambil pendekatan hujahan yang berbeza daripada kes Azalina Jailani.
Tujuan mereka hanya satu iaitu terus-menerus meletakkan tekanan kepada pihak yang berkenaan agar matlamat mereka tercapai. Mereka percaya bahawa pada suatu hari nanti, hajat mereka untuk melemahkan kedudukan Islam dan meliberalkan anutan agama Islam di kalangan penganutnya di negara ini akan terkabul jua.
Saya dengan itu menyeru semua umat Islam di seluruh negara agar tidak leka dengan kemenangan sementara yang Allah swt berikan melalui keputusan kes Azalinan Jailani itu. Kita semua dengan itu mesti mengambil peluang kedua yang Allah berikan ini untuk terus memperkukuhkan akidah dan keimanan di kalangan umat Islam di Malaysia. Ini adalah tugasan kita yang Allah telah taklifkan sejak sekian lama. Janganlah pula akibat daripada kegagalan kita untuk melaksanakan tanggungjawab ini, maka Allah menurunkan bala kepada kita dengan memberi kemenangan kepada musuh-musuh Islam pada masa hadapan.
Sementara itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada para peguam yang mengendalikan kes tersebut di pihak Islam, rakan-rakan dari pertubuhan-pertubuhan bukan Islam di dalam jaringan Pembela dan juga seluruh muslimin dan muslimat yang mendoakan kejayaan Islam di dalam kes tersebut. Semoga Allah menerima usaha-usaha kita itu sebagai amal-amal soleh yang boleh menjadi bekalan di akhirat kelak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment